Sebelum kedatangan Islam di satu tempat yang bernama Najran dan ianya juga terletak berdekatan dengan tanah Arab tinggallah seorang lelaki yang bernama Abdullah bin As Samir. Dia adalah merupakan seorang yang memiliki keimanan dan ketakwaan amat kuat dan dia juga adalah seorang yang soleh lagi baik.
Maka pada suatu hari bapa kepada Abdullah telah menyuruhnya pergi mempelajari ilmu sihir dari seorang ahli sihir yang amat terkenal lagi handal di dalam negara mereka itu dan itulah juga yang dikehendaki oleh Raja bagi negara tersebut. Si Raja memerintahkan kepadanya agar mempelajari ilmu sihir.
paradigma mukmin
Abdullah tadi menolak ia tidak mahu untuk mempelajari ilmu sihir kerana dia adalah seorang yang telah beriman kepada Allah SWT kerana dia juga mengetahui bahawa sihir adalah satu amalan yang tidak diterima oleh Allah. Barangsiapa yang mempelajarinya, juga beramal dengannya maka dia telah mensyirikkan Allah SWT. Oleh kerana itu merupakan perintah dari Raja, mahu tidak mahu dia mesti juga pergi mempelajarinya. Akhirnya dia pun bersiap sedia untuk pergi berjumpa ahli sihir tadi untuk mempelajari ilmu sihir.
Pada suatu hari ketika Abdullah sedang dalam perjalanan menuju ke rumah ahli sihir tiba-tiba dia terdengar satu suara yang begitu lunak memperkatakan tentang kewajipan beribadah dan beriman kepada Allah SWT. Lalu dia terus menumpukan perhatian dan pendengarannya kepada suara tersebut hinggakan hampir-hampir dia lupa apa tujuan sebenarnya dia keluar dari rumah pada hari itu, bila teringat tujuan asalnya dia terus menyambung kembali perjalanannya.
Maka ketika dia sampai ke rumah ahli sihir itu. dia terus ditanya: “Kenapa kamu terlambat?” Lalu si ahli sihir tadi terus menjatuhkan hukuman kepadanya.
Tidak lama kemudian dia disuruh pulang oleh ahli sihir. Dalam perjalanan pulang Abdullah singgah sebentar bertemu dengan orang alim yang menyeru orang ramai beriman kepada Allah tadi. Dia berbual-bual dan mendengar kata-kata dari orang alim itu hinggakan dia hampir-hampir lupa untuk pulang, terus ke rumah. Ketika dia teringat bahawa dia dikehendaki pulang segera ke rumah, terus dia bergegas pulang.
Sesampai sahaja di rumah bapanya terus bertanya kepadanya: “Kenapa kamu terlambat pulang?”
Maka bapanya terus menghukum atas kelewatannya itu. Dan begitulah seterusnya. Setiap kali dalam perjalanannya ke rumah ahli sihir dan dalam perjalanannya untuk pulang ke rumah dia tetap akan singgah sebentar bertemu dengan orang alim demi mendengar darinya nasihat-nasihat dan juga tunjuk ajar untuk lebih menguatkan lagi keimanannya kepada Allah SWT.
Pada suatu hari ada seekor ular yang amat besar dan berbisa telah mengganggu setiap orang ramai yang lalu di jalan tersebut. Setiap mereka yang lalu di situ sudah pasti akan di sakitinya ataupun paling kurang si ular yang berbisa itu akan menakut-nakutkan mereka yang lalu di situ. Jadi bermula dari hari itu semua orang merasa takut untuk lalu di jalan tersebut dan itulah jalan yang selalu dilalui oleh Abdullah untuk pergi ke rumah ahli sihir dan juga untuk bertemu dengan orang alim yang selalu memberi tunjuk ajar kepadanya. Jadi pada suatu hari tanpa disedari Abdullah telah melalui jalan tersebut. Tiba-tiba keluarlah ular yang besar dan berbisa itu tadi untuk menyerangnya.
Abdullah pun terus mengambil seketul batu yang agak besar lalu berkata pada dirinya: “Ya Allah! Kalaulah seandainya engkau lebih suka aku mendampingi orang alim itu daripada aku mendampingi ahli sihir maka bunuhlah ular yang besar ini!”
paradigma mukmin
Terus dia melemparkan batu tadi kepada kepala ular dan batu itu akhirnya mengenai kepala ular dan dengan serta merta ular itu terus mati. Kemudian dia pun segera menemui orang alim lalu diceritakan apa yang telah berlaku ke atasnya. Sesungguhnya dia telah membunuh seekor ular yang amat ditakuti oleh setiap orang yang melalui jalan untuk ke sini.
Lalu orang alim itu pun berkata: “Sesungguhnya berita gembira buat kamu wahai Abdullah. Kerana sesungguhnya kamu telahpun beriman kepada Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antaranya. Dan Dialah juga yang telah menciptakan matahari, bulan, malam, siang, dunia dan akhirat. Sesungguhnya Dia akan menjadikan kamu seorang manusia yang mulia!”
Tidak lama selepas itu berita tentang anak muda ini menjadi masyhur semua penduduk negara itu mengetahuinya tentang keimanannya kepada Allah SWT dan juga tentang dia menyeru orang ramai agar menyembah Tuhan yang Esa iaitu Allah SWT yang menjadikan segala-galanya yang ada di muka bumi ini. Allah telah mengurniakan beberapa karamah di antaranya pernah sekali dia mendoakan seorang yang sakit tenat.
Selepas selesai dia berdoa tidak lama kemudian orang itu terus sembuh dari sakit. Lantas orang itu pun terus beriman kepada Allah menjadi salah seorang dari pengikutnya dan di kalangan penduduk negara Najran itu ramai juga yang menerima seruannya serta beriman kepada Allah. Pada suatu hari datang lagi kepada Abdullah seorang yang diserang penyakit iaitu matanya tidak dapat melihat lalu orang itu berkata kepada Abdullah:“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Allah. Jadi aku minta kamu doakan untukku supaya penglihatanku dikembalikan semula.”
paradigma mukmin
Abdullah pun berkata: “Sesungguhnya Allah Berkuasa untuk melakukan setiap apa yang dikehendakinya! Ya Allah wahai Tuhanku! Kalau seandainya orang ini berkata benar maka sembuhkanlah kembali penglihatannya!” Berlakulah suatu karamah baginya iaitu penglihatan orang tadi kembali disembuhkan oleh Allah SWT menjadikan dia boleh melihat seperti sedia kala. Dia boleh melihat segala-galanya. Lantas orang tadi terus menjerit kegembiraan: “Sesungguhnya aku beriman kepada Allah! Aku beriman kepada Allah!”
Orang tadi pun terus berlari pulang ke rumah sambil berulang-ulang kali menyebut: “Aku telah beriman kepada   Allah. Aku telah kembali dapat melihat!”
Dan dia juga melafazkan perkataan yang sama kepada bapa saudaranya iaitu Raja bagi negara Najran tersebut. Terus si Raja menjadi marah dan berkata: “Siapakah yang mengajarkan kamu perkataan tersebut?”
paradigma mukmin
Dia menjawab: “Yang telah mengajarkan kepada aku ialah seorang pemuda yang sangat mulia dan beriman. Namanya Abdullah bin As Samir.” Si Raja pun berkata lagi: “Oh! dia inilah yang aku perintahkan untuk mempelajari ilmu sihir. Maka segera bawakan dia kepadaku! aku ingin menemuinya.”
Maka apabila Abdullah telah dihadapkan di hadapan Raja, terus Raja berkata: “Jadi bagaimana kamu sekarang ini! Adakah ilmu sihir yang aku suruh kamu pelajari itu telah benar-benar memberi manfaat kepada kamu hinggakan aku dengar bahawa kamu dapat menyembuhkan orang yang buta kembali melihat?” Abdullah pun menjawab: “Sebenarnya bukanlah aku yang menyembuh penglihatan orang itu, akan tetapi yang menyembuhkannya ialah Allah kerana sesungguhnya Allah berkuasa untuk melakukan segala-galanya.”
Bila mendengar jawapan dari Abdullah si Raja pun marah mukanya merah padam seraya berkata: “Siapakah yang mengajarkan kamu semua perkara ini?” Jawab Abdullah: “Yang mengajarkan aku semua perkara ini ialah seorang tua yang alim yang amat beriman dan bertakwa kepada Allah. Dan dia selalu beribadah menyembah Allah siang dan malam.”
paradigma mukmin
Dengan kemarahan yang tidak dapat ditahan itu terus Raja memerintahkan agar orang tua alim itu dan anak saudaranya tadi dihukum bunuh. Raja juga telah memerintahkan agar Abdullah juga di bunuh. Iaitu hendaklah dia dicampakkan dari puncak bukit. Akan tetapi Allah SWT telah melindungi kekasihnya itu tidak semena-mena bilamana tentera Raja ingin membawanya ke puncak bukit sedang mereka di kaki bukit, tiba-tiba berlakulah gempa bumi dan semua tentera yang membawanya jatuh tercampak ke bawah bukit. Mereka hendak membunuhnya akan tetapi Allah SWT telah menyelamatkannya dari maut.
Ketika dia telah terselamat dari perancangan jahat itu, dia pun terus turun dari bukit dan pergi berjumpa Raja dan berkata: “Sesungguhnya Allah SWT telah melindungi aku dari segala kejahatan yang ingin dilakukan oleh manusia.”
Raja pun makin bertambah marah. Sekali lagi dia memerintahkan kepada tenteranya agar menangkap Abdullah dan membunuhnya, dia memerintahkan agar mereka membawa Abdullah dengan sebuah kapal ke tengah-tengah laut kemudian mencampakkan ke dalam laut yang dalam itu dan janganlah mereka pulang selagi mereka belum pastikan bahawa Abdullah benar-benar telah tenggelam sampai ke dasar laut.
Tentera pun terus membawa Abdullah sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Raja. Ketika mereka menaiki kapal membawa Abdullah menuju ke tengah-tengah laut, tiba-tiba Allah mendatangkan kepada mereka satu ombak yang amat besar, hingga dengan pukulan ombak yang besar itu mengaramkan dan menenggelamkan kapal tadi, dan semua yang ada di dalamnya turut ditenggelamkan oleh ombak kecualilah Abdullah kerana Allah telah menyelamatkannya dari ditenggelamkan ombak. Jadi berenang-renanglah semula Abdullah ke pantai dengan selamat.
Sesampai sahaja dia di daratan, terus dia pergi menemui Raja dan berkata: “Sesungguhnya Allah telah melindungi aku dari segala kejahatan yang ingin dilakukan oleh hamba-hambaNya!”
Bertambah marahlah Raja bila melihat bahawa Abdullah masih hidup dan mendengar kata-katanya tadi. Sekali lagi dia memerintahkan semua tenteranya menangkap Abdullah, dan hendaklah Abdullah dipancung dengan pedang sehingga bercerai kepalanya dari badan.
Akan tetapi ketika si tukang pancung ingin memancung tiba-tiba dia terhenti. Tidak boleh untuk memancung. Maka sekali lagi Abdullah diselamatkan oleh Allah SWT. Si Raja pun bertambah marah dan terperanjat. Dia terus berfikir bagaimana untuk membunuh Abdullah, dan Abdullah pula berfikir bahawa Raja tadi belum juga mahu beriman kepada Allah, walaupun telah melihat akan karamah yang Allah jadikan kepadanya.
Akhirnya Raja bertanya kepada Abdullah: “Bagaimanakah cara untuk aku membunuh kamu?”
Maka Abdullah pun berfikir sejenak kemudian dia mengambil keputusan sanggup mengorbankan dirinya demi tersebar luas agama yang di serunya itu, dan sesungguhnya keimanannya terlalu kuat kepada Allah. Lalu dia berkata kepada Raja: “Sesungguhnya aku beriman kepada Allah! Jadi jika kamu ingin membunuh aku maka aku minta agar terlebih dahulu kamu kumpulkan seluruh rakyat yang ada di dalam negara ini dan hendaklah kamu ikatkan aku pada sebatang pokok yang besar dan tinggi. Dan ketika kamu hendak melepaskan anak panah kepadaku. Maka katakanlah: “Bismillah! Dengan nama Allah, Tuhan kepada pemuda ini!”
paradigma mukmin
Sampailah hari yang telah ditetapkan. Berkumpullah seluruh penduduk negara Najran untuk menyaksikan peristiwa tersebut. Setelah Abdullah diikat pada sebatang pokok yang besar dan tinggi maka sampailah masa untuk Raja melepaskan anak panah bagi membunuh Abdullah. Jadi ketika Raja ingin melepaskan anak panah dia pun menyebut dengan suara yang tinggi: “Bismillah! Dengan nama Allah, Tuhan pemuda ini!”
Ketika anak panah mengenai badan Abdullah maka matilah Abdullah bin As Samir dalam keadaan syahid demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Berlakulah satu ketentuan Allah iaitu seluruh penduduk negara Najran yang hadir di kala itu terus berkata-kata dengan begitu yakin: “Kami semua beriman kepada Allah, Tuhan pemuda itu tadi!” Kami semua beriman kepada Allah, Tuhan pemuda itu tadi!” Berulang-ulang kali mereka melafazkan perkataan tersebut.
paradigma mukmin
Raja Najran mendengar apa yang diperkatakan oleh rakyat terus dia menjadi marah, dan dia memerintahkan kepada seluruh tenteranya agar menangkap seluruh rakyat yang hadir untuk dibunuhnya yang mana mereka telah beriman kepada Allah SWT. Kerana terpengaruh dengan kata-kata yang di ucapkan oleh Raja Najran ketika membunuh Abdullah. Ketika telah terkumpul semua rakyatnya, lalu dia (Raja) berkata kepada mereka:“Aku memberi kepada kamu dua pilihan iaitu sama ada kamu meninggalkan Tuhan kamu Allah ataupun kamu aku bakar dengan api yang besar?”
Sebahagian kecil dari mereka yang lemah iman dan takut terus mengalah dan mereka itu kembali murtad, kafir kepada Allah SWT demi untuk menyelamatkan diri mereka dari dibakar oleh api. Akan tetapi sebahagian besar dari mereka tetap dengan pendirian mereka. Mereka tetap teguh memegang keimanan kepada Allah dan mereka langsung tidak menghiraukan segala amaran atau pun cabaran yang diberikan oleh Raja Najran tadi. Mereka lebih mengutamakan mati agar terus hidup kekal abadi di akhirat kelak, daripada terus hidup dalam dunia dengan mensyirikkan Allah.
Raja Najran pun terus memerintahkan tenteranya agar mengorek satu lubang yang besar untuk di jadikan tempat menghidupkan api bagi membakar mereka yang ingkar perintahnya. Setelah lubang besar siap mereka segera mengumpulkan kayu-kayu api kemudian api pun dinyalakan. Raja memerintahkan agar ke semua orang yang beriman kepada Allah itu dicampakkan ke dalam api yang besar tadi. Sejarah menceritakan kepada kita bahawa bilangan mereka yang dibakar oleh Raja Najran adalah seramai tujuh puluh ribu orang. Dan tidak ada pun di kalangan mereka yang beriman dapat menyelamatkan diri kecuali seorang lelaki yang namanya Daus yang mempunyai dua ekor serigala.
paradigma mukmin
Bagaimana dia boleh terselamat dari dibakar api ialah kerana dia telah berusaha dan berkeyakinan besar bahawa dia akan selamat dengan melarikan diri. Maka dia pun lari. Maka Daus pun menyelamatkan diri pergi ke Istana kerajaan Rom yang di kala itu semua mereka menganut agama yang sama iaitu beriman kepada Allah. Lalu dia menceritakan kepada Raja Rom bahawa seluruh umat Islam habis dibakar oleh Raja Najran.
Lalu Raja Rom menghantar utusan kepada Najashi Habshah agar membantunya iaitu dengan menyediakan bala tentera untuk menyerang kerajaan Raja Najran dan dia akan mengirimkan juga kepada mereka sepuluh buah kapal perang yang sebelum ini kapal perang tersebut pernah digunakan oleh tentera Najashi Habshah ketika menyerang Yaman. Lalu Najashi pun bersetuju maka berlakulah pertempuran yang hebat di antara tentera Habshah dengan tentera Najran yang separuh ahli sejarah mengatakan bahawa itulah juga Yaman.
paradigma mukmin
Pertempuran yang hebat tadi berkesudahan dengan musnahnya kekuatan tentera Najran atau pun antara lain dalam sejarah di kenali sebagai Ashabul Ukhdud. Habis tentera Raja Najran dibinasakan oleh tentera Habshah. Ada yang mati dan ada sebahagian dari mereka yang dijadikan hamba abdi kepada kerajaan Najashi Habshah. Raja Najran pula bernasib baik kerana dia dapat melarikan diri akan tetapi hidupnya tidak tenang kerana semakin hari hatinya semakin resah dan bimbang akhirnya Allah membalasnya dengan satu hukuman yang sama sekali dia tidak dapat untuk melawannya.
Pada suatu hari dia ingin melarikan diri dengan menaiki seekor kuda menuju ke pantai sesampai saja di pantai Allah SWT telah memerintahkan kepada laut agar bertukar kepada ombak yang sangat besar maka teruslah ombak yang besar itu tadi menyambarnya.Lalu Raja Najran tadi ditenggelamkan oleh ombak yang besar dan itulah tentera yang diutuskan oleh Allah untuk memusnahkan orang yang telah berbuat kezaliman dan kekejaman. Begitulah kesudahan bagi Raja Najran tadi di dunia lagi Allah telah melaknat dan menghukumnya maka di akhirat nanti sudah pastilah azab pedih Allah tersedia untuknya.